SILA LAYARI


Tuesday, October 23, 2018

SESI TOWN HALL PEMBANGUNAN PENDIDIKAN N.36 LAYAR


Sesi ‘Town Hall’
Pembangunan Pendidikan N36 Layar
Keberkesanan Sekolah, Kemenjadian Murid

Sesi ‘Town Hall’ Pembangunan Pendidikan N36 Layar diaspirasikan oleh Yang Berhormat En Gerald Rentap Jabu, Ahli Dewan Undangan N36 Layar yang akan dijadikan sebagai satu platform komunikasi. Program ini adalah sebahagian pendekatan mendekati warga pendidikan bersama-sama masyarakat dalam proses perolehan dan penyaluran maklumat. Medium ini juga bertujuan bagi menerangkan dan memberi ruang kepada pihak-pihak berkepentingan dari aspek pemajuan sekolah untuk memberikan pandangan dan cadangan dalam mewujudkan persekitaran sekolah berkesan dan mengupayakan kemenjadian murid.

Program ini dirancang berlangsung pada 28 Oktober 2018 di Dewan Sukan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan, Betong. Cadangan peserta seramai 300 orang yang terlibat adalah dalam kalangan pemimpin setempat, pemimpin organisasi (PPD Betong), pemimpin sekolah (Pengetua, Guru Besar dan Penolong-penolong Kanan), wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru dan orang ramai.

Objektif program ini adalah:
1. Mewujudkan kesedaran jurang pencapaian Pendidikan (akademik) antara bandar dan luar bandar
2. Mewujudkan kolaboratif dalam kalangan warga pemimpin sekolah, masyarakat dan pemimpin setempat dalam meningkatkan prestasi kurikulum
3. Memperkasakan rasa integriti kepemimpinan terhadap peningkatan kualiti kepimpinan sekolah
4. Memperkasakan rasa tanggungjawab bersama antara pihak pengurusan sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG)

Institusi-institusi pendidikan yang terlibat ialah 11 Sekolah Kebangsaan [SK Abang Abd Kadir, SK Nanga Ajau, SK Nanga Lawih, SK Nanga Passa, SK Nanga Spak, SK Saka, SK St Augustine, SK St Mark, SK St Peter & St Paul, SK St Bartholomew dan SJK ( C ) Chung Hua Betong], 3 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK Ulu Layar, SMK Datuk Patinggi Kedit dan SMK St Augustine), sebuah Kolej Vokasional dan sebuah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Betong. Selain daripada itu, semua pegawai dan staff dari Pejabat Pendidikan Daerah Betong juga terlibat.